Kalimah Allah: KDN kemuka nota kepada Kabinet

SERDANG 15 Mei – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata nota itu hanya satu makluman kepada Jemaah Menteri terhadap keputusan yang dibuat oleh KDN, berkaitan tindakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, sebelum ini.

“Saya sedar mengenai perkembangan itu. Saya sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri beberapa bulan lepas mengenai tajuk (isu rayuan penggunaan kalimah Allah) ini.

“Nota jemaah menteri, dia ada dua bahagian. Kalau kamu mahu keputusan, ia adalah Memo Jemaah Menteri atau lain-lainnya adalah nota. Bermakna kami maklum kepada Kabinet mengenai keputusan KDN.

Dalam kes ini, ia adalah keputusan dibuat KDN dan sudah dimaklum kepada Kabinet,” katanya selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Rumah Terbuka Aidfitri KDN di sini hari ini.

Menurut laporan media hari ini, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Ditanya alasan KDN menarik semula rayuan berkenaan, Saifuddin berkata, akan menghuraikan mengenai isu itu pada satu sidang media dalam masa terdekat.

“Kalau boleh bagi kami teliti balik dan akan kembali dengan fakta kepada media. Isunya keputusan mahkamah berkait penggunaan kalimah Allah yang sudah sampai kepada mahkamah yang di atas.

“Saya pilih untuk tidak memberikan penjelasan hari ini. Saya akan nyatakan dalam sidang media terdekat ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment