Kematian bukan sebab strok haba

KLUANG 2 Mei – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menjelaskan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, di sini semalam bukan disebabkan strok haba seperti dilaporkan sebuah akhbar atas talian hari ini.

Pengarah JKNJ, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, berkata kanak-kanak berkenaan dimasukkan ke wad kerana sawan selepas demam panas sehari sebelum dan mempunyai gejala batuk selama tiga hari.

Dalam satu kenyataan JKNJ yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa menjelaskan kematian kanak-kanak itu disahkan sebagai ‘septic shock secondary to Meningoencephalitis’

“Hasil siasatan yang dijalankan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang mendapati kematian kanak-kanak itu disahkan sebagai ‘septic shock secondary to Meningoencephalitis’ dan ia tiada kaitan dengan strok Haba seperti yang dilaporkan

JKNJ memohon kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi, yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam, disyaki mengalami simptom strok haba.

Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak keduanya Airiel Syahren Syahrol, 12, disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini.

Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik itu, mengalami gejala demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau kira-kira 10 malam Ahad lalu.

Doktor menerangkan anaknya mengalami simptom strok haba sehingga buah pinggang terjejas dan mengalami radang otak.

Related posts

Leave a Comment