KUALA NERUS 29 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Said dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir di sini malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata pembabitan kembali bekas Menteri Besar itu diharap dapat membantu membangunkan Ketengah sebagai hab pengeluaran makanan dan hab pelancongan di Terengganu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya percaya Ahmad dapat membantu merancakkan lagi pembangunan di kawasan Ketengah yang meliputi tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Katanya, selain memberi tumpuan kepada kemudahan infrastruktur seperti meningkatkan kemudahan bekalan elektrik dan air, Ketengah juga memberi tumpuan sebagai hub pengeluaran makanan dan hub pelancongan di negeri ini.
“Kita akan membangunkan sektor pelancongan di Ketengah, di mana kita merancang menjadikan Tasik Kenyir sebagai ‘Food Valley’ dengan ‘Halal Park’ dengan tujuan untuk mewujudkan keterjaminan makanan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, semua calon UMNO akan menggunakan lambang dacing bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Beliau berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan namun calon Barisan Nasional (BN) kekal menggunakan lambang BN iaitu dacing.
“Kita telah mengambil keputusan bahawa UMNO akan tetap menggunakan lambang dacing (iaitu) lambang Barisan Nasional manakala parti-parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan mereka akan gunakan lambang pilihan masing-masing,” katanya.
Ditanya mengenai pengagihan kerusi antara BN dan Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid berkata, perbincangan secara formal belum dilakukan berhubung perkara berkenaan.
