279 kes harian Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA 10 Mac – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam terus menunjukkan peningkatan dengan merekodkan 279 kes termasuk enam kes import berbanding 235 kes kelmarin.

Menurut data portal KKMNow, jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 5,044,718 yang meliputi 5,006,005 kes tempatan dan 38,713 kes import.

Jumlah kematian pula kekal 36,967 orang termasuk 7,877 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) berikutan tiada kes baharu dilaporkan kelmarin.

Sementara itu, jumlah kes aktif naik sedikit kepada 9,296 berbanding 9,253 kelmarin, dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,964 kes atau 96.4 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 327 pesakit atau 3.5 peratus mendapat rawatan di hospital, lima daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana satu kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 236 lagi pesakit dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,998,455.

Bagi kes harian negeri, Selangor mencatatkan 97 kes berbanding 63 kes kelmarin manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 64 kes berbanding 81 kes kelmarin.

Related posts

Leave a Comment