Cari punca kekerapan banjir

MARAN 3 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agensi kerajaan melakukan kajian terperinci, bagi mengurangkan risiko dan mengatasi banjir.

Seri Paduka bertitah, penyelesaian secara jangka pendek dan panjang seperti projek tebatan banjir dan usaha mendalamkan sungai yang semakin cetek perlu kerana masalah banjir kini kerap berlaku.

“Kos boleh difikirkan kemudian tetapi kita kena mencari punca sebab selalu banjir, setiap tahun, setiap bulan. Ini juga tertakluk kepada sungai kecil dan longkang di bandar yang tidak diselenggara dengan baik.

Macam-macam sampah dilontar sewenang-wenangnya yang mungkin menjadi punca banjir,” titah Seri Paduka semasa menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir Kampung Baru Sungai Chedong, di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah juga menitahkan mereka yang diarah berpindah supaya segera mematuhi arahan itu, selain sentiasa peka dengan keselamatan ahli keluarga serta menjaga kebersihan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) kerana membantu mangsa banjir dan berharap bantuan terus dipertingkat dari semasa ke semasa.

Semasa kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai, makanan dan kelengkapan penjagaan diri kepada mangsa banjir di Sungai Chedong dan PPS Dewan Arena YAM Tengku Muda di sini.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan memasak masakan ikan sardin dicampur ikan masin kepada 250 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS itu.

Banjir di Pahang bermula pada Rabu lalu, susulan hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan air sungai melimpah di daerah Raub, Jerantut, Maran, Pekan, Bera, Temerloh dan Rompin.

Related posts

Leave a Comment