Catatan perjalanan terakhir isteri Dr Farid Ravi

PERJALANAN TERAKHIR

“Yang Kekal Hanyalah Allah”

إنا لله وإنا إليه راجعون

TAKZIAH kepada Prof Madya Datuk Dr Farid Ravi Abdullah atas pemergian isteri tercinta, Datin Hajah Suziana Mohd Soyong, sekitar pukul 5.40 petang ini di Hospital Serdang.

Semalam, Imam 1 Masjid Bandar Seri Putra (MBSP) Ustaz Najmi Yahya memaklumkan Hajah Suziana dalam keadaan kritikal di ICU Serdang. Selepas Isyak diadakan solat hajat.

Petang ini, terima perkhabaran duka daripada Dr Farid Ravi, mantan Nazir MBSP. Solat jenazah yang mulanya dijadualkan selepas solat Isyak ditangguh sehingga 10 malam bagi menyelesaikan urusan di hospital.

Syukur Alhamdulillah ramai jemaah yang tetap menunggu ketibaan jenazah. Ramai kenalan Dr Farid hadir. Turut kelihatan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebelum itu, Prof. Madya Dr Izhar Ariff ketika memulakan Kukiah Maghrib mengucapkan takziah kepada sahabatnya dan dalam keadaan sebak menyatakan rasa syukur kerana malam ini beliau berada di MBSP atau di Kuala Lumpur, kerana kebiasaannya beliau di luar kawasan.

Kebetulan giliran kuliahnya di MBSP. Beliau sempat mengimbau kembali serba sedikit perhubungan erat dengan Dr Farid serta isteri. Katanya pada tahun 2010, ayahnya meninggal dunia pada pukul 12 malam. Dan keluarga pertama yang sampai adalah Ustaz Farid Ravi.

“Ayah saya cukup suka kepada beliau kerana dia (Farid Ravi) komited kepada al-Quran walaupun dia mualaf. Arwah ayah nak jumpa sangat dia tapi tak sempat.Tak ada rezeki tetapi orang yang solatkan ayah adalah Ustaz Mohd Farid Ravi,” katanya.

Sebelum menamatkan kuliah, Dr Izhar sempat mengingatkan jemaah supaya menghargai apa yang kita ada.

“Sahabat kita, guru kita kehilangan isteri tercinta. Saya tahu betapa sayangnya Ustaz Farid kepada isterinya,” katanya dalam keadaan sebak sambil mengingatkan bahawa tiada yang kekal. Isteri kita, diri kita, anak-anak kita akhirnya akan pergi.

Justeru pada masa yang sama beliau berharap jemaah terus mendekatkan diri dengan masjid dan surau kerana jemaah itulah kawan-kawan yang pada satu hari nanti, akan bersama solat jenazah, mendoakan kita.

Sesudah Isyak, sementara ketibaan jenazah, Imam 3, Ustaz Mohd Rasyidi mengetuai bacaan Yasin. Ini diikuti tahlil ringkas dipimpin Dr Izhar..

Solat jenazah diimamkan oleh Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir disusuli tahlil ringkas. Selesai solat, ahli kekuarga, rakan-rakan serta masyarakat setempat diberi kesempatan ziarah jenazah.

Sedih dan pilu melihat Dr Farid dan keluarga menenangkan anak-anak Allahyarham yang menangisi pemergian ibu mereka yang tercinta. Semoga enam anak Almarhumah tabah dan cekal. Khabarnya salah seorang sedang menduduki SPM.

Apa pun, seperti kata Dr Farid melalui hantaran di Facebooknya “ Yang Kekal Hanyalah Allah”.
Semoga Almarhumah yang pernah mengajar anak-anak kita termasuk anak-anak saya di sekolah ditempatkan bersama para solihin…Aamiin
Al-Fatihah.

Related posts

Leave a Comment