Ketua Wanita: Noraini sedia hadapi Shahrizat

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Dr Noraini Ahmad hari ini menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya pada pemilihan parti bulan depan.

Berikutan pengesahan itu, setakat ini Noraini akan dicabar oleh bekas pemimpin sayap parti itu Sahrizat Abdul Jalil yang telah menyerahkan borang pencalonan baru-baru ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata tawaran untuk mempertahankan jawatan itu adalah bagi meneruskan apa yang telah Wanita UMNO  laksanakan sehelum ini.

“Saya harap bantuan dan sokongan pengundi yang akan membuat pemilihan pada 11 Mac ini, dan harapan saya adalah dapat diberi peluang sekali lagi untuk menerajui Wanita UMNO,” katanya selepas penyerahan borang di Menara Dato Onn.

Mengenai penyertaan Shahrizat, beliau berkata pihaknya mengalu-ngalukan proses demokrasi dalam UMNO dan tidak ada halangan untuk sesiapa sahaja menawarkan diri bagi sebarang jawatan termasuk dalam Wanita.

“Diharapkan perwakilan terutama dalam Wanita dapat memilih dan menilai secara bijak, kerana kita dalam Wanita susah senang kita bersama,” katanya.

Pemilihan sayap UMNO akan berlangsung pada 11 Mac ini ketika Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian, yang diadakan serentak di seluruh negara.

Pada tarikh berkenaan, turut diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO dijadual berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Related posts

Leave a Comment