141 negara sokong Russia tinggalkan Ukraine

NEW YORK: Sebanyak 141 negara anggota Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menyokong resolusi tidak terikat pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang menggesa Russia menamatkan pencerobohan di Ukraine.

Tujuh negara – Belarus, Nicaragua, Russia, Syria, Korea Utara, Eritrea dan Mali menentang dan 32 negara berkecuali dalam resolusi yang digubal oleh Ukraine dalam rundingan dengan sekutunya.

Resolusi itu memberi mesej jelas pada ulang tahun pertama pencerobohan Moscow itu supaya Russia menamatkan permusuhan di Ukraine dan menarik balik tenteranya.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, berkata undian itu jelas menunjukkan bukan Barat saja menyokong negaranya.

“Undi ini menentang hujah bahawa bahagian selatan global tidak berpihak kepada Ukraine, sebaliknya banyak negara yang mewakili Amerika Latin, Afrika, Asia berpihak kepada Ukraine,” katanya.

UNGA menjadi badan paling penting yang berurusan dengan Ukraine selepas Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa, lumpuh oleh kuasa veto Russia.

Meskipun resolusi UNGA tidak mengikat secara sah, tidak seperti resolusi UNSC, tetapi ia berfungsi sebagai pengukur pendapat dunia.

Ketika negara-negara lain menumpukan perhatian kepada tindakan Russia, Timbalan Duta Besar Venezuela, Joaquín Pérez Ayestarán, berkata semua negara tanpa pengecualian mesti tegas mematuhi Piagam PBB.

“Negara-negara dalam kumpulan menentang ini menunjukkan satu tindakan perpecahan dalam UNGA dan tiada semangat untuk bertolak ansur,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Duta Besar China ke PBB, Dai Bing, berpendapat sebaliknya dengan menyokong Russia dan Ukraine dalam tindakan mereka.

China berkata, ia berkecuali dalam konflik itu dan menyokong rundingan damai, tetapi tidak mengkritik tindakan Russia itu atau menyifatkannya sebagai pencerobohan.

Bagaimanapun, Beijing mengecam Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya atas sekatan ke atas Moscow dan bantuan ketenteraan kepada Ukraine.

Related posts

Leave a Comment