Tujuh negeri laksana antilompat parti

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Tujuh negeri telah menguatkuasakan Undang-undang Antilompat Parti yang melarang wakil rakyat bertukar parti di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi),  Azalina Othman Said

Katanya, negeri-negeri tersebut adalah, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak.

Beliau  juga memberitahu kerajaan akan meneliti semula penambahbaikan terhadap undang-undang berkaitan anti lompat parti bagi memastikan ia dapat melindungi mandat rakyat dalam pemilihan wakil rakyat.

Menurut Azalina, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sudah diwartakan pada 6 September 2022 dan berkuat kuasa pada 5 Oktober 2022.

Peruntukan Seksyen 6 Akta A1663 memberikan ruang kepada Kerajaan Negeri/Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melaksanakan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Negeri, tertakluk persetujuan Raja atau Yang Dipertua Negeri.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab celahan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai usaha Kerajaan Persekutuan untuk menyelaraskan penguatkuasaan undang-undang berkaitan anti lompat parti bagi semua negeri, Azalina berkata, perkara itu berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri sepenuhnya.

“Kerajaan pusat tidak boleh (campur tangan) sebab isu lompat parti ini tidak berada dalam ‘concurrent list’ (senarai pelaksanaan serentak) antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang memuktamadkan dasar dan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanajaya Perkhidmatan Parlimen untuk menjadikan perkhidmatan Parlimen berasingan daripada perkhidmatan awam, yang dikenali sebagai perkhidmatan Parlimen.

“Pemberian kuasa autonomi kepada Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen ini amat penting dan adalah satu kemajuan yang baik dalam memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara Badan Perundangan dan Badan Eksekutif.

“Memorandum Jemaah Menteri mengenai perkara ini akan dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment