Covid-19: Kes harian 184, tiada kematian baharu

PUTRAJAYA 22 Feb. –  Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam naik sedikit kepada 184 termasuk tiga kes import berbanding 167 kelmarin dengan satu kes import.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,041,358 kes iaitu 5,002,690 kes tempatan dan 38,668 kes import.

Menurut data portal KKMNow, tiada kematian baharu dilaporkan semalam dan jumlah kematian kekal 36,957 orang termasuk 7,873 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan semalam adalah 9,322 berbanding 9,330 kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,986 kes atau 96.4 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 328 pesakit atau 3.5 peratus mendapat rawatan di hospital, lapan daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana enam orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 192 lagi pesakit baharu dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,995,079 orang.

Related posts

Leave a Comment