KUALA LUMPUR 20 Feb. – Mulai hari ini, bas perantara percuma dari KL Sentral ke bangunan Parlimen memulakan operasi sepanjang persidangan Dewan Rakyat bagi mengurangkan kesesakan, serta memberi kemudahan kepada kakitangan Parlimen.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang melancarkan perkhidmatan itu di KL Sentral berkata, penyediaan bas itu juga, bagi menggalakkan orang ramai termasuk pengamal media dan Ahli Parlimen menggunakan pengangkutan awam.
Katanya, setiap hari sekurang-kurangnya 2,000 kenderaan memasuki bangunan Parlimen dengan jumlah parkir yang disediakan hanya kurang 500 lot.
“Ini memberi kesan kepada warga yang bertugas di Parlimen termasuk media dan pegawai yang terpaksa beratur panjang setiap pagi untuk memasuki Parlimen, yang mana kadang-kadang hampir satu jam untuk masuk sahaja.
Jadi kita nak memudahkan kepada pegawai dan media kerana kita faham hari sebelumnya bertugas sehingga lewat malam ini sudah tentu menjejaskan kualiti hidup masing-masing,” katanya ketika melancarkan perkhidmatan itu.
Loke berkata perkhidmatan bas perantara percuma itu melibatkan kos sebanyak RM800 sehari bagi sebuah bas.
Jelas beliau lagi, mereka yang menggunakan bas perantara tidak perlu beratur sebaliknya hanya berhenti untuk mengambil pas keselamatan sebelum memasuki bangunan Parlimen.
Sebanyak dua bas akan disediakan setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi dengan kekerapan setiap 30 minit, di mana perjalanan dalam jarak lima kilometer (km), itu bergerak dari KL Sentral ke Taman Botani sebelum ke bangunan Parlimen.
