Nurul Izzah bukan lagi penasihat Anwar

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Nurul Izzah Anwar tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Anwar Ibrahim sebaliknya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan Mohd Hassan Marican.

Naib Presiden PKR itu berkata, Mohd Hassan telah mengundangnya untuk menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

“Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjadi tumpuan sebelum ini kerana kontroversi pelantikannya sebagai penasihat Perdana Menteri,

Anak sulung Anwar dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu menjelaskan, beliau amat menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.

“Saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.

Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan.

“Saya berharap khidmat membantu Tan Sri Mohd Hassan berserta anggota jawatankuasa lain mampu memberi manfaat kepada negara tercinta. Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita,” katanya.

Awal bulan lalu, Nurul Izzah dalam satu temu bual bersama sebuah media tempatan, memaklumkan beliau dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa 3 Januari 2023.

Pelantikan itu bagaimanapun mengundang kritikan pelbagai pihak terutama pembangkang yang mempertikaikan keputusan berkenaan dan mengaitkannya dengan amalan nepotisme.

Anwar kemudian menjelaskan, anaknya tidak akan menerima sebarang elaun dan beliau sendiri mempelawa Nurul Izzah untuk membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Terdahulu, Hassan dalam satu kenyataan berasingan, memaklumlan anak Perdana Menteri itu dijemput untuk mengetuai secara bersama sekretariat untuk menyokong operasi Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan.

Sekretariat berkenaan terletak di Menara Berkembar PETRONAS dan berfungsi membantu jawatankuasa penasihat yang melapor terus kepada Menteri Kewangan dan akan bermesyuarat sekerap mungkin bergantung pada keperluan.

Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan telah mengadakan mesyuarat sulungnya pada 10 Februari 2023, yang dipengerusikan oleh Hassan, yang juga Penasihat PETRONAS.

Mesyuarat itu dihadiri ahli jawatankuasa yang lain, iaitu Pengerusi Sarawak Energy Bhd,  Abdul Hamed Sepawi; Pengerusi Eksekutif FPSO Ventures Sdn Bhd, Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ulung Ekonomi Universiti Malaya, Profesor Ulung Rajah Rasiah dan Profesor Ekonomi di Sunway University Business School, Dr Yeah Kim Leng.

Jawatankuasa terbabit akan menasihati Menteri Kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus, berkaitan subsidi, termasuk menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada, selain penyediaan perlindungan sosial lebih holistik.

Peranan jawatankuasa itu juga membabitkan perkara berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk menentukan kaitannya dalam konteks semasa dan menyatukan yang mana sesuai dan perkara berkaitan hutang negara dan tadbir urus yang baik.

Related posts

Leave a Comment