LANGKAWI 5 Feb. – Terkilan dan sedih, ditolak jatuh merudum. Begitulah luahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas ditolak pengundi Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu.
Bekas Perdana Menteri itu meluahkan rasa kecewa berikutan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15 atas tiket Pejuang malah hilang wang deposit.
Beliau berkata, komitmennya membangunkan pulau legenda itu menerusi pemberian status bebas cukai pada 1987 sehingga terkenal di persada dunia seolah-olah tidak dihargai.
“Bukan merajuk, tapi kecewa sedikit (atas kekalahan teruk dalam PRU15) kerana saya sudah buat macam-macam (pembangunan) di Langkawi. Saya ditolak jatuh merudum dan hilang 14,000 undi,” katanya selepas menghadiri Program Jasamu Dikenang di Hotel Goldsands di sini, malam tadi.
Beliau turut hairan ditolak pada PRU15 lalu kerana yakin tidak melakukan sebarang kesalahan memudaratkan penduduk sehingga ditolak pengundi.
Pada PRU15 lalu, negarawan itu hanya memperoleh 4,566 undi berbanding calon Perikatan Nasional, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang memperoleh 25,463 undi, menang dengan majoriti 13,518 undi.
Untuk rekod, PRU-14, Dr Mahathir pada usia 93 tahun membuat kejutan menewaskan pencabarnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan calon Pas, Zubir Ahmad dengan majoriti 8,863 undi. Beliau memperoleh 18,954 undi.
Mengulas isu pembekuan akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata, perkara itu tiada kena-mengena dengan dirinya.
“Dulu saya yang tubuh BERSATU, tapi ketika itu tidak curi duit dari mana-mana, kemudian parti berpecah dua, BERSATU sekarang di bawah (Tan Sri) Muhyiddin Yassin.
“Saya tiada kena-mengena kerana tidak lagi berada dalam BERSATU dan itu masalah mereka manakala saya kini adalah Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA),” katanya.
