Mohd Sharkar Yang Dipertua DUN Pahang

KUANTAN 29 Dis. –  Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lancang, Mohd Sharkar Shamsudin dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang menggantikan  Ishak Muhammad.

Usul pelantikan Mohd Sharkar dikemukakan Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan,  Mohd Soffi Abd Razak.

Mohd Sharkar menggantikan Ishak  yang menjawat jawatan itu sejak 2013 manakala ADUN Bilut, Lee Chin Chen dilantik Timbalan Yang Dipertua menggantikan bekas ADUN Jenderak, Muhamed Jaafar.

Mohd Sharkar, adalah ADUN Lanchang daripada Barisan Nasional (BN) selama lima penggal bermula 1999 tetapi tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan lalu bagi kawasan P.088 Temerloh.

Selain itu, Mohd Sharkar juga pernah menjawat jawatan sebagai EXCO Pahang antaranya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pada persidangan itu juga, Mohd Sharkar turut dilantik sebagai ahli tambahan DUN Pahang.

Pada November 2020, persidangan DUN Pahang meluluskan pindaan Perkara 18 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi mewujudkan ADUN lantikan.

Sementara itu, Chin Chen daripada Pakatan Harapan (PH – DAP) dipilih selepas namanya dicalonkan oleh Wan Rosdy dan sekali lagi disokong oleh Mohd Soffi.

Chin Chen adalah Ketua Pembangkang pada persidangan DUN penggal lalu dan mula menjadi ADUN di Pahang pada 2013 selepas memenangi kerusi DUN Ketari pada PRU13 sebelum bertukar ke DUN Bilut pada 2018.

Persidangan hari ini juga menyaksikan semua 42 ADUN Pahang mengangkat sumpah jawatan yang didahului Wan Rosdy disusuli 10 EXCO dan ADUN lain termasuk Ketua Pembangkang  Tuan Ibrahim Tuan Man yang merupakan ADUN Cheka.

Kerajaan Pahang selepas PRU15 dibentuk menerusi kerjasama antara BN dan PH selepas tiada parti yang memperoleh majoriti mudah 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya itu.

Pada PRU15, BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala PH menang di lapan kerusi.

Related posts

Leave a Comment