Industri akur SOP sambut warga China

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Penggiat industri pelancongan akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam menerima kemasukan pelancong China yang dijangka meningkat pada tahun hadapan.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, mereka dinasihatkan memantau SOP sebaiknya bagi mengelakkan penularan Covid-19, dan tidak mengharapkan kerajaan dan pihak berkuasa untuk memantau segalanya.

“SOP sudah sedia ada terutamanya dari segi scanning (imbas suhu), vaksin… vaksin kena ada. Saya dapat tahu Singapura akan tambah dos vaksin, saya dapat tahu dari wakil kami di Singapura.

“Apa yang pasti, SOP semua sudah ada. Dari segi periksa suhu, itu kena ada. Dari segi vaksin, itu pun ada. Testing (ujian saringan) kita ikut pada kerajaan. Kalau pihak kerajaan kata perlu adakan ujian saringsn sebelum datang sini (Malaysia), kita akur.

Setakat ini belum ada lagi. Hanya ada beberapa negara yang kuat kuasa seperti Amerika Syarikat. Jadi kita kena akur dengan keputusan kerajaan kerana kita perlu lihat semuanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Persediaan Industri Pelancongan Menerima Pelancong Dari China dan Pelancaran Acara Fish Tale Global Chinese Challenge 2023, di sini

MITA juga akan terus mendapatkan nasihat daripada pakar terutamanya melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa berhubung SOP membabitkan industri pelancongan.

China dilaporkan akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari 2023, selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Perkembangan terbaharu itu menyaksikan pengusaha pelancongan tempatan melakukan persiapan awal bagi menyambut kehadiran pelancong dari negara berkenaan yang lazimnya menjadikan Malaysia sebagai antara lokasi tumpuan mereka.

Selain China, MITA juga akan memantau negara lain seperti India yang kebelakangan ini merekodkan jumlah kes Covid-19 yang agak tinggi.

Related posts

Leave a Comment