Tambah baik ISA jika SOSMA dipinda

SEPANG 29 Dis. –  Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mencadangkan Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA) dikembalikan dengan penambahbaikan sekiranya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dipinda.

Ketua Penerangan PUTRA Malaysia, Shahrulufti Sharif berkata, pihak keselamatan iaitu polis memerlukan instrumen yang berkesan, pantas dan tegas demi menjaga keselamatan rakyat dan negara.

“Cegah sebelum terlambat dan inilah semangat ISA., sebab itu Singapura masih mengekalkan ISA sehingga sekarang dan tidak mungkin akan dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, SOSMA adalah undang-undang peruntukan bagi langkah-langkah khas dengan tujuan mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam serta untuk perkara yang berkaitan bagi menggantikan ISA.

Justeru dalam isu ini, beliau menggesa kepemimpinan politik supaya tidak mempolitikkan apa sahaja akta yang dilulus untuk pihak polis melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan rakyat dan negara.

Polis Diraja Malaysia katanya, mempertaruhkan nyawa mereka untuk rakyat setiap hari, melakukan tugas yang sukar dilakukan untuk mengekalkan keselamatan awam  demi menjaga keselamatan rakyat dan negara Malaysia.

“Cakaplah apa saja, demokrasi, hak asasi dan keadilan, namun semuanya mengatasi nyawa rakyat yang tidak berdosa jika berlaku huru hara seperti 13 Mei 1969 dulu.

“Sekarang ini dengan kedatangan dunia cyber dan internet dan Malaysia pula negara berbilang kaum dan agama, terbukti sudah ancaman keselamatan berada seperti api dalam sekam atau telur di hujung tanduk,” katanya.

Beliau turut mengingatkan DAP supaya lebih sensitif dengan keselamatan negara ketika bercakap mengenai SOSMA ini.

Shahrulufti merujuk kenyataan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang menggesa supaya SOSMA tidak digunakan sehingga sesi libat urus antara kerajaan dan pihak berkepentingan diadakan.

RSN Rayer turut meminta supaya tahanan SOSMA dibebaskan serta-merta sementara menunggu sesi libat urus selesai.

Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh memaklumkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bersetuju untuk mengkaji dan mengadakan perbincangan mengenai peruntukan dalam SOSMA.

Ramkarpal dilaporkan berkata, Saifuddin juga setuju dengan cadangan untuk melakukan libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk pegawai Kementerian Dalam Negeri dan polis.

Shahrulufti juga berharap serentak dengan libat urus untuk pindaan SOSMA diadakan, pada masa yang sama pihak berkenaan melihat untuk mengembalikan ISA.

Related posts

Leave a Comment