Bekalan air kawasan terjejas mula pulih

SEPANG 25 Dis. – Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berikutan pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, telah mencapai 16 peratus sehingga 7 malam tadi.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), ia melibatkan 32 kawasan di Sepang, Hulu Langat (14) dan dua di Petaling.

Dalam kenyataannya, Air Selangor memaklumkan, tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Kenyataan itu menyebut bekalan air bagi kawasan terjejas akibat henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi, dijangka pulih sepenuhnya pada 2 petang esok.

Bagaimanapun bagi kawasan terjejas oleh henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih, bekalan dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi Selasa.

Sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi semalam, berikutan henti tugas sementara di kedua-dua LRA tersebut.

Air Selangor turut menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih, sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi, seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Related posts

Leave a Comment