Pandangan peguam PN status 4 ahli Parlimen

STATUS 4 AHLI PARLIMEN GRS-BERSATU SABAH?

1. Akta A1663 – Akta Pindaan Perlembagaan (No. 3) (2022) telah dibentang dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia pada April 2022, dan telah menerima perkenan Tuanku YDPA pada 31.8.2022 serta disiarkan dalam Warta 6.9.2022.

2. Pasca PRU-15, pada 10.12.2022, negara telah dikejutkan dengan pengumuman Pengerusi Bersatu Sabah bahawa pimpinan Bersatu Sabah telah mengisytiharkan diri keluar dari Bersatu, tetapi kekal di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Untuk rekod, terdapat 4 orang MP Bersatu Sabah yang bertanding di atas tiket GRS pada PRU-15 yang lalu.

3. GRS adalah sebuah gabungan parti-parti politik yang berdaftar.

4. Isunya – dengan pengisytiharan keluar 4 orang MP Bersatu Sabah (yang bertanding menggunakan logo GRS), adakah akan menyebabkan kerusi itu kosong?

5. Mari kita teliti pindaan Perlembagaan terkini berkaitan Perkara 49A dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan:-

(a) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan selepas Perkara 49 Perkara yang berikut: “Pertukaran parti politik anggota, dsb”

49A. (1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang di-Pertua di bawah Fasal (3) jika—

(a) setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik—

(i) dia melepaskan keanggotaan parti politik itu; atau

(ii) dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; atau

(b) setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota suatu parti politik, dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota.

(2) Seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli Dewan itu menurut Perkara ini hanya disebabkan oleh—

(a) pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya;

(b) pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang di-Pertua; atau

(c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

(b) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dipinda dalam Fasal (2) dengan memasukkan selepas takrif “Orang Melayu” takrif yang berikut
“parti politik” ertinya—

(a) mana-mana pertubuhan yang menurut mana-mana tujuan atau kaedahnya, tidak kira sama ada tujuan atau kaedah itu merupakan tujuan atau kaedah utamanya, atau semata-mata merupakan tujuan atau kaedah yang menjadi tambahan kepada tujuan atau tujuan-tujuan utamanya atau kepada kaedah atau kaedah-kaedah utamanya, mengadakan peruntukan bagi pertubuhan itu menyertai, melalui calon-calonnya, dalam pemilihan ke Dewan Rakyat, atau ke Dewan Undangan Negeri; atau

(b) mana-mana pertubuhan yang, walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam tujuan-tujuan atau kaedah-kaedahnya, menjalankan apa-apa aktiviti atau meneruskan apa-apa tujuan yang melibatkan penyertaannya, melalui calon-calonnya, dalam pemilihan ke Dewan Rakyat, atau ke Dewan Undangan Negeri, dan termasuklah gabungan pertubuhan sedemikian yang telah didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang persekutuan;’.

6. Perkara 49A (a)(i) PP (dalam konteks terkini di Sabah), 4 MP Sabah bertanding sebagai ahli berdaftar Bersatu melalui logo gabungan GRS. Setelah memenangi PRU-15, maka 4 MP tersebut telah “dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik itu – Bersatu/GRS” (melengkapi Perkara 49A(1)…. dan kemudiannya “melepaskan keanggotaan keanggotaan parti politik itu – Bersatu” tetapi KEKAL di bawah GRS.

7. ISUNYA – adakah ia melengkapi Perkara 49A(a)(i)?.

8. Perkara 160 PP pula memperuntukkan takrif “parti politik” pada bahagian proviso – “…. dan termasuklah gabungan pertubuhan sedemikian yang telah didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang Persekutuan”?.

9. Isu di hadapan kita ialah apakah keanggotaan sebenar 4 MP Sabah di kala bertanding dan memenangi PRU-15?

10. Pandangan saya – 4 MP ini menjadi ahli gabungan GRS tertakluk kepada keanggotaannya dalam parti politik asal (Bersatu), yang merupakan anggota komponen GRS. Keahlian/keanggotaan mereka sebagai MP GRS tidak secara langsung (not a case of direct membership). Justeru keanggotaanya dalam GRS adalah bersifat “by extension” – iaitu melalui keanggotaanya dalam Bersatu. So to speak, their status as GRS MP is conditional upon them maintaining their Bersatu membership.

11. Bilamana 4 MP ini mengisytiharkan diri keluar dari Bersatu, mereka bukan lagi ahli kepada mana-mana komponen parti dalam GRS. Pada peringkat itu, mereka secara automatiknya bukan lagi ahli kepada gabungan GRS kerana mereka telah memutuskan talian keahlian melalui parti komponen Bersatu.

12. Hakikatnya, mereka tidak boleh mengatakan keluar dari Bersatu, tetapi KEKAL dalam GRS (kerana keahlian mereka bersifat by extension / conditional upon Bersatu membership). Berhenti dari menjadi ahli Bersatu, maka secara jelasnya mereka turut berhenti dari menjadi ahli gabungan GRS.

13. Justeru operasi undang-undang berkaitan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(i) adalah terpakai ke atas 4 MP ini.

14. Maka keahlian mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat turut gugur.

Ini pandangan awal saya. A case to ponder. An interesting point of law need to be built up and further argued.

Wan Rohimi bin Wan Daud
Ketua Pasukan Undang-Undang,
Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional
Pengerusi LUHAM PAS Pusat
11 Disember 2022

 

Related posts

Leave a Comment