Diisytihar menang jika undi tertinggi

KULIM 7 Dis. – Calon yang menarik diri dan memberi laluan kepada calon lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman akan diisytiharkan menang jika memperoleh undi tertinggi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ini kerana kesemua calon sedia ada telah disahkan layak bertanding pada hari penamaan calon 24 November lepas.

“Kita akan umum (nama calon yang menang walaupun mereka menarik diri). Calon yang (boleh) tarik diri hanya pada waktu pencalonan (antara pukul 9 hingga 10 pagi) pada hari berkenaan sahaja.

Jadi selepas pukul 10 pagi sudah tidak boleh (menarik diri) kerana telah disahkan layak bertanding,” katanya selepas meninjau pusat pengundian PRU15 Parlimen Padang Serai di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah di sini hari ini.

Pada 29 November lepas, Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) di DUN Tioman sebagai tanda kesepakatan kerajaan perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Selepas itu, langkah yang sama turut diambil di Parlimen Padang Serai dengan calon Warisan turut mengumumkan untuk memberi laluan kepada PH selepas hari penamaan calon bagi kawasan itu selesai.

BN turut membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding pada PRU15 Parlimen Padang Serai dan memberi laluan kepada PH beberapa jam sebelum hari pengundian awal dijalankan pada 3 Dis lepas.

Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Datuk Azman Nasrudi (Perikatan Nasional), Datuk C. Sivaraj (BN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon BEBAS Sreanandha Rao.

PRU15 DUN Tioman pula melibatkan penyandang daripada BN Datuk Seri Mohd Johari Hussien, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Sulaiman Bakar (BEBAS), Osman Bakar (Pejuang) dan calon PN Nor Idayu Hashim.

Related posts

Leave a Comment