Cukuplah berpolitik, ketepi sentimen politik

PEKAN 28 Nov. – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan kerajaan negeri supaya meletakkan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

Baginda mahu kerajaan yang baharu dibentuk mengetepikan ideologi dan sentimen politik.

“Kini bukan lagi masa untuk berpolitik, cukup-cukuplah. Pilihan raya telah tamat, kerajaan negeri telah dibentuk. Sekarang masa untuk bekerja,” titah baginda pada Istiadat dan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Pada istiadat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 14 Oktober lalu.

Menurut Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah,  dalam proses mencapai negeri maju, rakyat tidak mahu lagi melihat ahli politik terus berpolitik dan mencari salah.

Sebaliknya, rakyat mahu wakil rakyat yang duduk di kerusi kerajaan untuk membawa Pahang terus maju ke hadapan.

“Bagi wakil rakyat yang berada di sebelah pembangkang, menjadi semak dan imbang dengan profesional dan matang.

“Mana dasar yang kurang baik, tegur dan berilah idea untuk untuk ditambah baik, bukanlah gah pada gelaran yang berhormat tetapi harus diingat anda menjadi wakil untuk membawa dan menyelesaikan masalah setempat,” titah baginda.

Pada masa yang sama, baginda mengingatkan, jangan menjadi wakil rakyat untuk mencipta kekayaan diri, untuk rasa dihormati, sedangkan amanah yang diberi dikhianati.

(Foto fb Kerajaan Negeri Pahang)

Related posts

Leave a Comment