KJ kempen secara gentleman’, beradab

SUNGAI BULOH 3 Nov. –  Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin akan bekerja keras bagi merampas semula kerusi itu biarpun calon BN pernah tiga kali tewas dengan majoriti lebih 20,000 undi.

Beliau akan terus berjuang untuk penduduk Sungai Buloh yang demografinya   menggambarkan Malaysia sebenar, dengan kira-kira 65 peratus komposisi Melayu, China 21 peratus, India 10 peratus dan lain-lain dua peratus.

“Biarpun sedar Sungai Buloh ini bukan kawasan putih, malah bukan kelabu, tetapi ini kawasan gelap gelita macam saya juga. Jadi kita jangan jadi penumpang Barisan Nasional tetapi kena jadi pelengkap kerana kita hadir untuk menang bagi membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.

Beliau berkata demikon kepada media selepas Majlis Bersama KJ di Parlimen Sungai Buloh (P107) di pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh di sini malam tadi. Ini majlis pertama dihadiri Khairy yang juga Menteri Kesihatan selepas diumumkan sebagai calon BN di Parlimen Sungai Buloh,

Khairy berkata, BN tidak boleh berterusan hanya berjuang di kawasan putih khususnya luar bandar kerana atas tiket kerusi selamat sebaliknya perlu menang di kawasan bandar yang banyak dikuasai parti pembangkang.

“Jika semua BN pergi ke kerusi selamat dengan tertumpu luar bandar dan tidak berani lawan di bandar, BN tidak boleh pegang bandar. Di Sungai Buloh daripada keseluruhan 160,000 pengundi majoritinya kawasan bandar.

“Jadi tugas saya untuk menawan semula Parlimen Sungai Buloh bukanlah mudah kerana majoriti pihak lawan sebelum ini melebihi 20,000 undi.

‘Tetapi kalau melihat semangatnya yang hadir malam ini, tidak mustahil kita menang,” katanya.

Khairy  akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan 160,000 pengundi dengan menyampaikan mesej secara bersemuka atau melalui media sosial.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau menitipkan pesanan supaya dirinya termasuk jentera berkempen secara ‘gentleman’ dan beradab.

“Sungai Buloh sudah jadi kawasan kerusi panas. Sudah jadi tumpuan, dalam bahasa orang putih hot seat. Saya nak pesan kita kempen secara gentleman. Dalam kempen kena ada adab.

“Boleh sentuh prestasi (pihak lawan), tetapi jangan peribadi. Kita mahu menang dengan idealisma, dengan baik,” katanya.

Terdahulu Pengerusi BN Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid menjelaskan jentera yang membabitkan kekuatan seramai 18,000 orang memberikan sokongan ‘solid’ untuk memastikan kemenangan Khairy yang disifatkan sebagai pemimpin pelapis masa depan negara.

“Kita semua mengendong ‘the future of this country’. Semua jentera gerak kerja sederap,” katanya.

Sejak 2008,  Sungai Buloh disandang R Sivarasa dari PKR di mana pada PRU-14 , Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari Pas yang memperoleh 16,977 undi, A Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (642).

Secara tradisi kerusi Sungai Buloh ditandingi oleh MIC tetapi parti itu kalah kepada PKR tiga penggal berturut-turut.

Related posts

Leave a Comment