Syed Saddiq diperintah bela diri

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 30 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 21 Jun lalu.

Saksi terbabit termasuk ibu dan bapa Syed Saddiq, iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz serta Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff dan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali.

Tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), turut memberi keterangan iaitu Mohd Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip

Pendakwaan juga menawarkan 13 saksi kepada pembelaan, termasuk dua pegawai forensik SPRM, Moses anak Lawrence dan Wan Zulkifli Wan Jusoh serta rakan Syed Saddiq, iaitu Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.

Syed Saddiq, 29, berdepan empat tuduhan, iaitu didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta dan melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Penyandang kerusi Parlimen Muar itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang, masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, hasil aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018.

Related posts

Leave a Comment