Israel tidak hormati kedaulatan negara

KUALA LUMPUR 20 Okt. –  Kementerian Luar Negara sewajarnya mengemukakan nota bantahan kepada Israel dan membawa isu ejen perisikan Israel di negara ini ke medan antarabangsa, kata Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Malaysia juga wajar mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan haram negara itu yang melakukan tindakan ‘terrorisme’ di Malaysia yang juga bermakna Israel turut mempunyai aset risikan di negara ini yang harus dibanteras segera.

“Isu ini sangat serius kerana membabitkan negara asing terutamanya Israel yang sememangnya Malaysia tidak ada hubungan diplomatik,” katanya sebagai reaksi isu penglibatan ejen perisikan Israel masuk ke Malaysia dan menculik warga Palestin di negara ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, Israel merupakan musuh kepada negara luar kerana dasar kezaliman dalam isu hak asasi manusia dan bukan soal agama semata-mata.

“Tindak tanduk Israel dalam isu penculikan tersebut jelas tidak menghormati kedaulatan negara Malaysia. Malah dari satu segi seolah-seolah mencabar kedaulatan negara dan merupakan ancaman kepada negara kita.

“Bayangkan orang awam biasa yang tidak berdosa boleh tercedera atau berlakunya kematian dengan operasi haram di negara kita, jika terus berterusan operasi haram mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berharap Kementerian Dalam Negeri membuat  kenyataan  yang lebih menyeluruh dan bukan hanya di peringkat baru meneliti kerana KDN mempunyai mekanisme yang efisien dalam sistem keselamatan negara.

“Sudah tentu  32 juta rakyat Malaysia sedang tertunggu-tunggu langkah kerajaan  bagi menangani situasi ini tidak  berlaku lagi pada masa akan datang dan pihak yang terlibat dengan perisikan asing yang berniat jahat diambil tindakan yang tegas tanpa kompromi,” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada PDRM yang berjaya menumpas perculikan warga asing oleh agen perisikan asing, beliau juga berharap aspek kawalan keselamatan dari pelbagai akibat ancaman Israel terhadap pemimpin pejuang Palestin di negara ini dipertingkatkan.

“Penegasan aspek keselamatan dan kedaulatan negara amat penting bagi memastikan  tidak ada negara berani melakukan provokasi dan membuat onar di negara kita.

“Semoga pembentukan kerajaan yang baharu nanti akan mempunyai peneraju kementerian yang lebih cekap dan proaktif,” katanya.

Related posts

Leave a Comment