MT UMNO panggil mesyuarat khas

KUALA LUMPUR 9 Okt. – UMNO memanggil mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu malam esok, dipercayai bagi memperinci persiapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta memuktamadkan bentuk kerjasama dengan Pas.

Panggilan mesyuarat itu dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan bertarikh 7 Oktober.

Mesyuarat akan dipengerusikan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pukul 8 malam yang dijangka menyentuh jangkaan tarikh pembubaran Parlimen yang akan diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini Dr Ahmad Zahid mendesak Pas menyatakan pendiriannya dalam masa terdekat berhubung ketetapan itu dengan meminta parti terbabit memutuskan hubungan bersama Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu jika memilih Barisan Nasional (BN) sebagai rakan sekutu pada PRU15.

Bagaimanapun , dalam kenyataan semalam, Pas masih berteka-teki sama ada akan menjalinkan kerjasama dengan BN pada PRU15 dengan memutuskan untuk meneruskan usaha penyatuan ummah, membabitkan ketiga-tiga parti teras Melayu, termasuk UMNO dan Bersatu.

Keputusan itu dibuat Pas selepas selesai mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja parti itu di ibu negara dan dipengerusikan Presiden, Abdul Hadi Awang.

Related posts

Leave a Comment