Pas diharap guna logo PN

ALOR SETAR 30 Sept. – Perikatan Nasional (PN) berharap Pas dapat menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai tanda kesepakatan dan kekuatan gabungan itu, kata Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin.

Beliau berkata Pas terutamanya di Kedah wajar mempertahankan logo PN supaya rakyat mengenali gabungan itu.

“Apabila saya bersama dengan rakan-rakan daripada Pas dalam kerajaan, saya tengok mereka ini baik-baik belaka, saya ucapkan tahniah. Jadi bila saya sudah kata macam itu, jangan fikir (guna logo) lain lagi.

“Kita nak pertahankan benda (logo) ini. Itulah untuk kita sampai bila sudah menang esok, sudah berkuasa, pada masa itu Yang Amat Berhormat Datuk Seri Sanusi akan turun dari kampung ke kampung tunjuk, ini logo baharu kita

Kita lancarkan dari kampung ke kampung, semua orang kampung tahu kita bagi macam-macam kat depa (mereka). Esok-esok depa tanya logo siapa pula ini? Jadi Pengerusi PN Kedah, tolong pertahankan logo PN,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Setiausaha Agung PN di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi PN Kedah.

Sebelum ini Pas Kelantan, Terengganu dan Kedah bercadang mengguna logo parti itu di negeri masing-masing pada PRU15.

Muhammad Sanusi dalam Muktamar Pas Ke-68 awal bulan lalu berkata sejumlah besar perwakilan bimbang dengan logo PN yang berwarna biru itu kerana menyamai warna logo BN.

Hamzah berkata warna logo PN perlu ditukar berikutan warnanya menyamai warna logo Barisan Nasional.

“Logo depa dacing. Bila pilihan raya, gambar yang keluar dacing… kitalah satu-satunya parti yang tulis penuh. Perikatan Nasional. Dari zaman merdeka sampai sekarang ada lagi ka pengundi yang tak reti (pandai) baca? Mana ada,” katanya.

Menurut Hamzah,  Pas adalah gabungan parti yang kukuh dan mampu memberi saingan hebat kepada BN dalam PRU15.

Katanya, BN termasuk UMNO sukar untuk bangkit semula selepas kejatuhan parti itu dalam PRU sebelum ini.

“Apa pun depa (BN) buat biarlah, rakyat tahulah, cukup-cukuplah. Dahulu di Indonesia parti yang paling besar sebelum merdeka sampai sekarang, hari ini parti itu (GOLKAR) masih besar tetapi tak boleh memerintah dah. Sekali jatuh badan besar… manusia pun bila badan besar sudah jatuh, susah nak bangun.

“Di Turkiye sama, saya yakin itulah yang kita mampu lakukan walaupun kita baru bergabung dengan Pas parti yang dilihat oleh rakyat penuh berintegriti ini akan terus memerintah bukan dua tiga tahun tetapi selama-lamanya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment