Kerajaan gagal, MPN juga bertanggungjawab

PUTRAJAYA 20 Sept. – Semua pihak termasuk Muhyiddin Yassin yang berperanan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut bertanggungjawab jika kerajaan didakwa gagal dalam menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob, berkata ini kerana usaha memastikan pentadbiran dan pengurusan negara serta ekonomi bukanlah digalas beliau secara individu, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama.

“Pengurusan ekonomi dijaga oleh Mustapa (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed), manakala MPN dipengerusikan Muhyiddin menasihatkan kerajaan dari segi ekonomi.

“Ia adalah tanggungjawab bersama, kalau gagal maknanya semua gagal. Semua gagal termasuk Majlis Pemulihan Negara juga gagal,” katanya kepada media selepas melancarkan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin yang menyarankannya untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

Ismail Sabri bagaimanapun memaklumkan beliau sendiri belum membaca sepenuhnya kenyataan dibuat Muhyiddin itu, termasuk meneliti maksud sebenar kenyataan bekas Perdana Menteri berkenaan.

Jadi saya tidak tahu apa cerita sebenarnya dan hari ini baru tahu. Saya belum baca perinciannya lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat Kabinet yang akan diadakan Rabu ini mungkin akan membabitkan pembentangan situasi ekonomi negara untuk mengetahui sama ada pentadbiran beliau berjaya atau gagal mengendalikan ekonomi negara.

Beliau berkata, Mustapa akan diminta membentangkan laporan mengenainya kepada Kabinet.

Selain itu, katanya perkara membabitkan kekangan cuaca seperti banjir dan bencana alam lain akan turut dibincangkan.

Related posts

Leave a Comment