PH mampu menang 27 kerusi kritikal

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Pakatan Harapan (PH) mampu memenangi 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal, jika menguasai 30 peratus sokongan pengundi Melayu kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa, kemenangan itu boleh dicapai sekiranya PKR dan PH boleh merayu pengundi Melayu yang mencukupi, walaupun dalam pertarungan satu lawan satu, sama ada bertembung UMNO atau Pas.

“Mengikut pengalaman saya pada PRU yang lalu, jika mahu memenangi pilihan raya, anda perlu memenangi hati dan fikiran pengundi.

“Jika PKR dan PH boleh merayu pengundi Melayu mencukupi di 27 kerusi itu, melepasi ke paras 30 peratus dalam tempoh dua ke tiga bulan ini, maka ia boleh dilakukan. Mungkin juga kita akan mengejutkan UMNO dan Pas.

Disebabkan itulah persediaan perlu dilakukan sekarang termasuklah meyakinkan pengundi atas pagar,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran pentauliahan pengurus kempen PKR menggunakan aplikasi CISTA, di sini hari ini.

Pas sebelum ini berkata, mereka sedia berunding dengan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal dalam PRU-15 bagi mengelakkan pertembungan.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya melihat ada perkara yang perlu perundingan bersama PN dan BN dalam konteks pembahagian kerusi kritikal bagi manfaat kedua-dua parti itu menjelang PRU akan datang.

“Kita tengok ada beberapa perkara untuk kita duduk bersama (dengan BN) sebagai contoh jika kita ingin menawan Selangor, Pas menerusi PN dan juga BN perlu duduk bersama berbincang hal ini.

Ditanya mengenai lokasi kerusi Parlimen kritikal yang dimaksudkan itu, Rafizi berkata, ia membabitkan kawasan pengundi yang mempunyai majoriti Melayu iaitu di Kedah, Johor dan Selangor.

“Beberapa kerusi di Kedah seperti Merbok, Kulim Bandar Baharu serta Tambun (Perak). Di Johor seperti Ledang dan Muar. Di Selangor, di beberapa kerusi yang kuat kerana ramai profesional Melayu cenderung menyokong Pas,” katanya.

Mengulas mengenai strategi pertembungan satu lawan satu di lokasi itu, beliau berkata, PKR dan PH boleh mendapatkan manfaat apabila sokongan pengundi Melayu mencecah hingga 30 peratus dengan lebih 80 peratus adalah dari sokongan bukan Melayu, termasuklah jumlah 75 peratus keluar mengundi.

“Sebenarnya 27 kerusi itu majoritinya adalah kerusi ditandingi PKR dan biasanya mempunyai pengundi Melayu seramai 60 hingga 70 peratus.

“Sekiranya UMNO dan PN (Pas) bergabung dan mengelak pertembungan di situ, mereka boleh menguasai sehingga 90 peratus undi Melayu dan menang, walaupun tidak mempunyai banyak sokongan bukan Melayu,” katanya.

Rafizi mendakwa, sokongan pengundi hari ini juga lebih terarah kepada PKR disebabkan beberapa isu antaranya mengenai peningkatan kos sara hidup,

“Sejak Julai hingga Ogos lalu, kami melihat perubahan sehingga empat peratus sokongan Melayu kepada PKR dan PH,” katanya.

Related posts

Leave a Comment