Rafizi tidak bertanding di Johor

JOHOR BAHRU 1 Sept. – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor mengesahkan tidak akan bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, pelantikannya sebagai Pengerusi MPN bukan bermakna perlu bertanding di negeri itu sebaliknya ia bagi memudahkan PKR Pusat menyelaraskan kempen PRU15 memandangkan Johor antara negeri tumpuan utama Pakatan Harapan (PH).

Menurut Rafizi, dalam kalangan pimpinan pusat, beliau mempunyai rekod lebih lama bekerjasama dengan pimpinan dan cabang di negeri ini.

“Ini memudahkan kita menyelaraskan kempen PRU-15 dari peringkat pusat ke Johor,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MPN Johor di Ibu Pejabat PKR negeri, malam tadi.

Mesyuarat turut dihadiri Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Sebelum ini, berikutan pelantikan bekas Ahli Parlimen Pandan itu sebagai Pengerusi MPN, pada 3 Ogos lalu, timbul spekulasi kononnya Rafizi akan bertanding di Johor sama ada di kerusi Parlimen Johor Bahru atau Batu Pahat yang juga kubu kuat PKR.

Related posts

Leave a Comment