12 anggota tentukan masa depan belia

TANJONG 13 Ogos –  Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 agar membuat keputusan bijak demi kebaikan generasi masa depan.

Justeru, Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow, berkata sokongan 12 ahli Parlimen yang menganggotai jawatankuasa itu bukan sahaja mampu menjimatkan berbilion ringgit perbelanjaan negara malahan menyelamatkan dua juta  jiwa.

“CAP merayu 12 ahli Parlimen yang menduduki jawatankuasa itu akan membuat satu keputusan yang akan menyelamatkan jangkaan dua juta kematian dan keilatan akibat tabiat merokok.

“Masa depan dan nasib belia ini berada dalam tangan mereka dan keputusan menyokong RUU ini akan sangat dihargai semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 30 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, sejumlah dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian serta keilatan disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh sehingga 2040 sekiranya RUU terbabit berkuat kuasa.

Khairy yang mengetuai jawatakuasa pilihan khas berkenaan, berkata RUU itu amat penting bagi aspek kesihatan awam, malah tidak banyak undang-undang di negara ini yang boleh menyelamatkan bilangan nyawa seramai itu.

Subbarow berkata, sudah tiba masanya RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok disokong ahli Parlimen yang disifatkannya akan menjadi hadiah terbaik kepada generasi akan datang.

Menurutnya, lebih 20 negara telah mengharamkan vape dan e-rokok yang mempunyai banyak kesan mudarat kepada kesihatan termasuk penyakit kanser.

Semalam, Khairy dipetik berkata, anggota jawatankuasa berkenaan yang dianggotai wakil blok kerajaan dan pembangkang akan bermesyuarat buat kali pertama pada minggu depan.

Antara perkara perlu diteliti mereka adalah peruntukan undang-undang dalam aspek penguatkuasaan dan jumlah denda yang akan dikenakan.

Pada 2 Ogos lalu,, Dewan Rakyat bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan.

Selepas perbahasan membabitkan 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, dan  digulung Khairy, RUU yang masih di peringkat bacaan kali kedua itu kemudiannya disokong sebulat suara.

Related posts

Leave a Comment