Rodziah Ismail tewas Ketua Wanita PKR

PETALING JAYA 4 Julai – Rafizi Ramli kekal memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR tetapi berlaku ‘perubahan’ bagi jawatan Ketua Wanita pada Pemilihan PKR 2022.

Ketua Wanita PKR Selangor, Rodziah Ismail, yang sebelum ini dilapor memenangi jawatan Ketua Wanita peringkat pusat, diumumkan tewas kepada Senator Fadhlina Sidek, hari ini.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Fadhlina memperoleh 18,923 undi berbanding Rodziah dengan 18,891 undi, iaitu perbezaan 32 undi.

Keputusan akhir Pemilihan PKR 2022 yang disiarkan menerusi laman web https:\\pemilihankeadilan2022.com menyaksikan Anwar Ibrahim mempertahankan jawatan Presiden tanpa bertanding, manakala Rafizi Ramli dipilih sebagai Timbalan Presiden menewaskan Saifuddin Nasution Ismail dengan 59,678 undi.

Jawatan Ketua Majlis Pimpinan Angkatan Muda dimenangi aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim yang menewaskan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol.

Mengulas mengenai keputusan akhir pemilihan itu, Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa, berkata JPP meneliti laporan audit pakar digital dan menerimanya berdasarkan bukti berasas menerusi analisis digital.

Katanya, dapatan audit mendedahkan wujud percubaan menggodam keputusan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Pakar audit memberi cadangan mengemas kini rekod pengundian. Proses pemutihan dilaksanakan berdasarkan keputusan analisis digital itu.

“Bagaimanapun, keputusan itu tidak menjejaskan keputusan kemenangan sebahagian besar calon, baik di peringkat pusat mahupun di peringkat cabang,” katanya.

Sementara itu, semakan keputusan beberapa cabang kontroversi seperti di Ampang mendapati tiada keputusan pemilihan disiarkan, hari ini.

Sebelum ini, semakan di laman web sama menyatakan pengarah dan pelakon, Hans Isaac, memenangi jawatan Ketua Cabang Ampang dengan memperoleh 748 undi melalui pemilihan semula Rabu lalu.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, menewaskan seorang lagi selebriti, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 43, dengan perbezaan dua undi yang menyaksikan penyanyi rap itu meraih 746 undi.

Berikut keputusan Pemilihan PKR 2022 yang dikongsi oleh Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin di laman Facebook, hari ini:
Presiden: – Anwar Ibrahim
Timb.Presiden: – Rafizi Ramli
Naib Presiden: – Amirudin Shari – Chang Lih Kang – Nik Nazmi Nik Ahmad –  Aminuddin Harun
Ketua Wanita: – Fadhlina Sidek
Timb. Ketua Wanita: – Juwairiya Zulkifli
Naib Ketua Wanita: – Wasanthee Sinnasamy – June Leow Hsiad Hui – Sangetha Jayakumar
Ketua AMK: – Adam Adli Abd Halim
Timb.Ketua AMK: – Muhammad Kamil Munim
Naib Ketua AMK: – Atyrah Hanim Razali – Pravin Murali – Prasanth Kumar Brakasam

 

Related posts

Leave a Comment

error: Content is protected !!