Brunei Darussalam catat 279 kes baharu

BERAKAS 31 Mei  – Brunei Darussalam hari ini merekodkan 279 kes baharu yang menunjukkan penurunan berbanding 306 kes yang direkodkan kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 148,674.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, sebanyak 277 kes itu adalah hasil Ujian ART manakala dua kes lagi hasil daripada 318 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, satu kes direkodkan dalam Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Tiada kes dilaporkan bagi Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Beliau memberitahu , sebanyak 215 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 146,854 manakala jumlah kes aktif sebanyak 1,597 iaitu enam sedang dirawat di hospital, manakala 1,591 sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, sebanyak 254 dos pertama vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang membawa kepada jumlah keseluruhan 34,755 atau 81.0 peratus.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 605 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 20,946 atau 48.8 peratus menerima dua dos manakala 70.6 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment