Shehbaz Sharif PM Pakistan ke-23

PRESIDEN Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N), Shehbaz Sharif hari ini dipilih sebagai Perdana Menteri ke-23 Pakistan, ketika pada masa yang sama wujud tekanan bagi memaksa pilihan raya umum diadakan.

Ahli-ahli Parlimen yang masih setia kepada perdana menteri digulingkan, Imran Khan meletakkan jawatan beramai-ramai dan keluar Dewan.

Shehbaz, abang kepada bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif, menerima 174 undi daripada keseluruhan 342 ahli Dewan Rakyat.

Pemimpin berusia 70 tahun itu mendapat sokongan gabungan pelbagai parti di bawah Pergerakan Demokratik Pakistan (PDM) dan dilihat sebagai pentadbir yang berkebolehan.

Bekas parti pemerintah, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), yang menuntut pilihan raya dipercepatkan, sepakat  untuk meletakkan jawatan kerana menentang kerajaan import.

Imran dan parti pimpinannya sebelum ini mendakwa kerajaan yang diterajuinya runtuh berpunca daripada campur tangan Amerika Syarikat (AS) yang berpakat dengan pihak tempatan. Bagaimanapun AS menafikan dakwaan itu.

Imran dijangka akan memberi tekanan terhadap kerajaan baharu untuk memaksa pilihan raya umum dipercepatkan memandangkan PTI dilihat menerima sokongan sebahagian besar rakyat.

PTI sebelum ini mencalonkan bekas Menteri Luar, Shah Mahmood Qureshi untuk mencabar Shehbaz, yang kemudian memboikot sesi pemilihan perdana menteri baharu.

Timbalan speaker, Qasim Khan Suri, yang berada di kerusi speaker ketika sesi bermula, turut keluar dari dewan.

Shehbaz ialah bekas Ketua Menteri wilayah Punjab, yang mewakili lebih separuh daripada 220 juta penduduk Pakistan.

Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan angkatan tentera.

Related posts

Leave a Comment