Peningkatan kes di Arab Saudi

RIYADH 26 Dis. – Kes harian jangkitan Covid-19 di Arab Saudi menunjukkan peningkatan apabila Kementerian Kesihatan melaporkan 389 kes baharu hari ini berbanding 325 yang direkodkan semalam.

Ini merupakan hari ketiga berturut-turut, jumlah kes harian melebihi 300 apabila sejumlah 332 kes direkodkan pada 24 Disember lalu, berbanding hari sebelumnya sebanyak 287 kes.

Jumlah kes harian mula menunjukkan peningkatan berbanding beberapa minggu sebelumnya yang merekodkan angka di bawah 100 dan 50 kes.

Pada 10 Disember, angka yang direkodkan adalah 48 dan naik kepada 53 pada hari berikutnya, naik kepada 64 pada 13 Disember, 88 kes 15 Disember, dan 116 kes pada 18 Disember seterusnya pada 21 Disember merekodkan 222 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan, satu kematian direkodkan sama seperti hari sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan 8,871 kematian dan kes keseluruhan sebanyak 552,795.

Sebanyak 124 orang kembali pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh meningkat kepada 540,868 kes manakala 33 kes dalam keadaan kritikal.

Related posts

Leave a Comment