Kes Omicron dari Lagos dikesan

KUALA LUMPUR 16 Dis. –  Kementerian Kesihatan mengesan kes Covid-19 varian Omicron kedua di negara ini membabitkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, warganegara yang menetap di Lagos, Nigeria, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pesakit bersama ibu dan adik perempuannya tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Disember lalu sebelum disahkan positif Covid-19 dua hari selepas itu.

Pesakit kemudiannya disahkan dijangkiti varian Omicron pada 14 Disember lalu, selepas Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) melakukan jujukan penuh genom.

Pesakit tidak mempunyai gejala dan kini menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Sebelum ini, Malaysia merekodkan kes pertama varian Omicron pada 2 Disember lalu membabitkan seorang pelajar berusia 19 tahun yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Menurut Khairy Jamaluddin, keputusan ujian RT-PCR COVID-19 ke atas kanak-kanak itu sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif namun pesakit dikesan positif pada 7 Disember lalu.

Katanya, kontak rapat kepada kes terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa, dan pemandu teksi yang membawa pesakit dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman.

Namun ujian yang dijalankan ke atas ibu dan adik perempuan pesakit sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, hari kelima dan hari ke-11 bagaimanapun menunjukkan negatif.

“Ujian RT-PCR COVID-19 bagi pemandu teksi sedang dijalankan dengan keputusannya dijangka diperoleh hari ini…ketiga-tiga mereka tidak bergejala dan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya.

Beliau berkata, bapa kanak-kanak itu pula tiba di Malaysia pada 12 Disember lalu dan sedang menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta dengan ujian Rt-PCR pada hari ketibaan adalah negatif.

Katanya, selain itu keputusan ujian bagi semua 35 orang kontak yang berada dalam penerbangan sama dengan pesakit adalah negatif

Selain itu, Khairy berkata, kementerian turut memaklumkan sebanyak 18 kes kemungkinan varian Omicron dikesan dalam kalangan pengembara yang pulang dari luar negara, hasil ujian PCR Genotyping Assay yang membabitkan 52 sampel.

Namun, keputusan pengesahan berhubung varian itu akan diperoleh melalui jujukan genom penuh (WGS) yang akan diperoleh esok.

Khairy juga berkata, pihaknya juga mengarahkan golongan barisan hadapan ke ‘medan pertempuran’ semula bagi berdepan ancaman Omicron.

“Negara lain sudah memaklumkan kepada kita supaya bersedia dengan kehadiran Omicron…tolong kuatkan diri kerana Omicron sudah berada di sini dan ia hanya menunggu masa.

“Kita juga sudah maklumkan kepada semua barisan hadapan bahawa kita perlu berada di medan pertempuran semula walaupun mereka sudah letih,” katanya.

Related posts

Leave a Comment