Sabbaruddin ‘sifu’ politik

PUTRAJAYA 5 Dis. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Allahyarham Sabbaruddin Chik sebagai ‘sifu’ dan mentor politik baginya.

Malah, figura itu juga dianggap sebahagian daripada episod penting dalam sejarah perjuangannya dalam dunia politik.

“Ketika saya berusia 27 tahun, Allahyarham telah melantik saya sebagai ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.

Pada tahun 1995, saya memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham.

“Ketika itulah, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh berkat tunjuk ajar Allahyarham,” tulis beliau di Facebook.

Tambahnya, sifat Allahyarham yang amat berdisiplin dan berwibawa dalam melaksanakan amanah kepada rakyat dan negara, sentiasa menjadi inspirasi buatnya.

“Segala ilmu dan tunjuk ajar Allahyarham, tidak pernah saya lupakan dan akan saya kenang sepanjang kehidupan ini.

“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang begitu besar, bukan sahaja kepada saya tetapi juga buat negara kita.

“Saya berdoa agar seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menerima kehilangan besar ini,” katanya lagi.

Allahyarham Sabbaruddin, 80, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira pukul 8 malam tadi.

Related posts

Leave a Comment