Belum lengkap jika dua dos Sinovac

SINGAPURA 3 Dis. – Kementerian Kesihatan (MoH) mengingatkan Individu yang sudah mendapatkan dua dos vaksin Covid-19 Sinovac atau Sinopharm supaya mengambil dos ketiga mereka untuk dianggap sebagai lengkap divaksin.

Menurut MoH, untuk mengekalkan status sebagai sudah lengkap divaksin mulai 1 Januari 2022 dan seterusnya, mereka amat digalakkan supaya mengambil dos ketiga sebelum 31 Disember ini selagi dos kedua mereka disuntik tiga bulan lalu.

Selepas 1 Januari, bagi yang belum mengambil dos ketiga, status vaksinasi kembali ke “vaksinasi sedang dijalankan”, yang bermakna mereka akan dikenakan langkah pengurusan selamat vaksinasi yang berbeza serta sekatan di tempat kerja.

Sejak Rabu, MoH secara berperingkat-peringkat mengirimkan makluman SMS kepada 70,000 individu yang sudah menerima dua dos vaksin tersebut. Mereka layak untuk mengambil dos ketiga vaksin tiga bulan selepas suntikan kedua mereka.

Pada Oktober MoH mengumumkan vaksin Sinovac-CoronaVac akan disertakan ke dalam program vaksinasi negara Singapura sebagai rejim tiga dos.

Walaupun kadar vaksinasi tempatan adalah tinggi, masih ada segelintir yang memilih untuk tidak mendapatkan vaksin mRNA kerana “pilihan peribadi yang tegas.

Semalam, MoH menegaskan individu yang mengambil dua dos vaksin Sinovac atau Sinopharm “amat digalakkan” untuk mendapatkan vaksin mRNA bagi dos ketiga mereka melainkan mereka tidak layak dari segi perubatan untuk berbuat demikian.

Jika tidak, mereka harus melengkapkan dos ketiga vaksin Sinovac-CoronaVac atau Sinopharm, mana-mana yang diterima sebagai dua dos pertama.

Mereka yang mengalami reaksi alahan kepada dos pertama vaksin mRNA dan mendapatka vaksin Sinovac bagi dos kedua mereka seharusnya juga melengkapkan dos ketiga dengan Sinovac, 28 hari selepas dos kedua mereka, untuk mengekalkan status vaksinasi mereka.

Related posts

Leave a Comment