VIENNA: Sebuah parti politik baharu yang menentang sekatan berkait Covid-19, memenangi enam peratus undi dalam pilihan raya wilayah semalam sekali gus memberi parti itu satu kerusi di Parlimen Austria.
Ditubuhkan pada Februari lalu, Parti Menschen-Freiheit-Grundrechte (MFG) atau Rakyat-Kebebasan-Hak Asasi menjalankan kempen, terutama melalui rangkaian media sosial dengan sebuah platform yang skeptikal mengenai vaksin dan menolak suntikan wajib.
Austria memperketatkan pelaksanaan pas kesihatan yang diperkenalkan pada musim bunga secara berperingkat.
Bermula bulan depan, hanya mereka yang menerima vaksinasi lengkap atau sudah sembuh daripada jangkitan virus itu boleh memasuki stadium dan venue besar di Vienna.
Berdasarkan satu tinjauan, separuh daripada pengundi tidak divaksin menyokong parti berhaluan kanan, FPO, dengan suku lagi menyokong MFG.
Dengan hanya 60 peratus populasi telah menerima vaksinasi lengkap, Austria ketinggalan berbanding kebanyakan negara maju.
Canselor Austria, Sebastian Kurz, menyalahkan sokongan FPO terhadap gerakan skeptikal Covid-19 dan konspirasi, atas perkembangan vaksinasi yang perlahan itu.
