SINGAPURA 13 Sept. – Semua murid sekolah rendah perlu melakukan ujian kendiri Covid-19 apabila mereka memulakan penggal baru persekolahan hari ini.
Kit ujian pantas antigen (ART) DIY akan diagihkan kepada semua murid sekolah rendah pada minggu ini dan setiap murid diberi tiga kit.
Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata ia sebahagian daripada usaha memastikan murid dan guru selamat.
Menerusi facebooknya, beliau berkata ia adalah sebahagian pendekatan empat kaedah bagi memastikan keselamatan di sekolah.
Pendekatan itu termasuk melarang murid tidak sihat ke sekolah, langkah pengurusan kendiri di sekolah serta mengasingkan kes positif Covid-19 dan kontak rapat.
Chun Sing turut menggalakkan semua ahli keluarga membantu pelajar untuk melaksanakan ujian saringan kendiri di rumah minggu ini dan membiasakan diri mereka dengan prosedur berkenaan.
“Ia juga adalah langkah satu kali bagi memastikan anak-anak kita selamat. Pada masa depan, kita mungkin akan melaksanakan ujian kendiri tambahan,” katanya.
Katanya, kegiatan aktiviti kokurikulum kekal digantung dan langkah pengurusan keselamatan seperti pemakaian pelitup muka dan amalan kebersihan diri akan diteruskan kerana ia membantu meminimumkan risiko jangkitan di sekolah .
