Sekali lagi kes harian tertinggi

PUTRAJAYA 31 Julai – Malaysia sekali lagi mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi apabila 17,786 kes dilaporkan setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata peningkatan jumlah kes itu menjadikan negara kini merekodkan sejumlah 1,113,272 kes positif virus berkenaan sejak Januari tahun lalu.

Kes harian tertinggi yang direkodkan sebelum ini adalah 17,405 kes pada 28 Julai lalu.

Sebanyak 17,777 kes membabitkan penularan tempatan iaitu 15,151 warganegara (85.2 peratus) dan 2,626 bukan warganegara (14.8 peratus), manakala enam kes import membabitkan rakyat tempatan dan empat warga asing. sejumlah 1,113,272

Ketika ini kes aktif adalah sebanyak 189,609 kes dan seramai 11,718 pesakit dijangkiti Covid-19 sudah sembuh sepenuhnya hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 914,639 atau 82.2 peratus.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga merekodkan 1,062 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 534 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut melaporkan 165 kes kematian akibat Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,024 kes atau 0.81 peratus.

“Ia membabitkan 155 warganegara dan 10 bukan warganegara. Selain itu, sebanyak 28 kluster jangkitan dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster kini sebanyak 3,679 dengan 2,573 kluster sudah tamat dan 1,106 kluster masih aktif.

Daripada 17,786 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 260 kes (1.5 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 17,526 kes (98.5 peratus) lagi kategori satu dan dua.

Sementara itu Selangor merekodkan 52 kematian , Johor (30), Negeri Sembilan (23), Kedah (18), masing-masing sembilan kes di Sabah dan Kuala Lumpur, Pulau Pinang (tujuh), Melaka (empat), masing-masing tiga kes di Perak, Terengganu dan Sarawak, Pahang (dua) serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Perlis.

Related posts

Leave a Comment