Victoria lapor lima kes baharu

MELBOURNE 5 Jun – Lima kes baharu dilaporkan di Victoria, naik sedikit berbanding empat kes semalam yang membawa jumlah terkumpul dalam penularan terbaru kepada 69.

Kenaikan itu berlaku ketika pihak berkuasa masih mencari punca penularan varian yang mudah berjangkit itu yang dikesan dalam satu kluster baharu.

Melbourne kini memasuki hujung minggu kedua perintah berkurung yang dijangka berakhir pada Khamis (10 Jun).

Pihak berkuasa dikejutkan pada Jumaat (4 Jun) setelah varian Delta Covid-19 yang sangat mudah berjangkit itu dikesan buat pertama kalinya di Melbourne.

Ini mencetuskan kebimbangan bahawa jumlah kes boleh meningkat dengan mendadak.

Kini terdapat tujuh kes dengan varian Delta disahkan di bandar itu.

Varian Delta dikategorikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai empat varian Covid-19 yang wajar dibimbangi kerana terdapat bukti ia lebih mudah berjangkit dan berkemungkinan menyebabkan penularan terbaru yang teruk di India.

Perintah berkurung yang segera, sekatan merentas daerah dan peraturan jarak sosial yang ketat membantu Australia menangani penularan sebelum ini dan memastikan jumlah kes Covid-19 di negeri itu di paras agak rendah dengan 30,150 kes dan 910 kematian.

Penularan di Victoria yang bermula pada 24 Mei itu menyaksikan orang ramai berpusu-pusu untuk mendapatkan vaksinasi berikutan pelaksanaan program vaksinasi yang lembab sejak Februari.

Semalam Perdana Menteri Scott Morrison berkata bahawa 20 peratus penduduk dewasa di negara itu sudah mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19.    

Related posts

Leave a Comment