2.8 juta hilang kerja jika PKP penuh

PUTRAJAYA 22 Mei – Sebanyak 2.8 juta pekerja informal berisiko tinggi hilang punca pendapatan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan secara menyeluruh, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz.

Beliau berkata, jika sektor ekonomi ditutup, bilangan rakyat yang menggangur dijangka mencecah satu juta, yang akan memberi impak kepada empat juta rakyat berdasarkan purata empat orang bagi setiap keluarga.

“Kesan PKP menyeluruh akan lebih dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan pekerja sektor informal. Kita perlu ingat bahawa sektor pembuatan dan perkilangan juga menggaji ramai rakyat Malaysia yang berpendapadatan rendah,” katanya.

Dengan situasi seperti ini, PKP secara menyeluruh bukan sahaja akan  meningkatan pengangguran tetapi juga mendatangkan kemudaratan kepada rakyat termasuk impak sosial yang akan mengambil masa yang lama untuk diperbaiki.

Tengku Zafrul berkata, semasa PKP 1.0, 68 peratus perniagaan melaporkan tiada jualan/hasil semasa, 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih daripada enam bulan untuk pulih dan dua daripada tiga perniagaan mempunyai atau akan menanggung tunggakan hutang dalam tempoh enam bulan.

Oleh itu, jalan penyelesaian yang terbaik dalam mengimbangi antara melindungi nyawa dan kesejahteraan rakyat adalah secara PKP yang bersasar dan dipeketatkan dan bukan PKP secara menyeluruh.

Tambahan pula, kerajaan komited untuk meneruskan pelbagai bantuan bersasar bagi membantu individu dan perniagaan yang terjejas. Pelbagai bantuan terus disalurkan sepanjang tahun ini.

Kerajaan telah menyalurkan RM4.68 bilion dibawah Bantuan Prihatin Rakyat yang memanfaatkan 8.4 juta penerima B40. Program peningkatan kemahiran dan bakat pula memberi peluang pekerjaan bagi 137,290 orang. Selain itu, subsidi upah membantu lebih daripada 330,000 majikan dalam mengekalkan 2.7 juta pekerjaan

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengapa kilang yang menjadi antara lokasi utama penularan Covid-19 masih dibenar beroperasi, beliau berkata sekatan operasi premis itu boleh menyebabkan syarikat berkenaan gulung tikar sekali gus mengakibatkan rakyat hilang pekerjaan.

“Pada PKP 1.0 yang lalu, dianggarkan 800,000 orang kehilangan pekerjaan kerana syarikat-syarikat besar terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Related posts

Leave a Comment