EU henti tempah AstraZeneca

PARIS: Kesatuan Eropah (EU) tidak memperbaharui tempahan bagi vaksin AstraZeneca setelah tempahan terakhir akan diterima pertengahan tahun ini, kata  Pesuruhjaya Pasaran Domestik, Thierry Breton.

Kata Breton, blok itu akan memantau keadaan semasa sebelum membuat keputusan susulan.

Pengumuman ini dibuat sehari selepas EU secara terbuka mengakui beri sokongan penuh kepada vaksin Pfizer-BioNTech.

“Kami tidak memperbaharui pesanan selepas Jun. Kami akan tunggu dan lihat.

AstraZeneca sangat menarik dari segi logistik, ia lebih mudah digunakan kerana suhu yang diperlukan untuk menggunakannya,” jelas Breton.

Dua minggu lalu blok itu memulakan tindakan perundangan ke atas AstraZeneca

berikutan kegagalan syarikat berkenaan memenuhi kontrak untuk membekalkan vaksin kepada EU.

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron memberitahu negara itu dan Eropah akan mempertimbangkan vaksin daripada syarikat farmaseutikal lain.

Bagaimanapun ia akan terus menggunakan stok vaksin AstraZeneca sedia ada yang akan membantu mereka keluar daripada krisis kesihatan yang kini melanda dunia.

Katanya tiada pihak yang mengetahui vaksin mana berkesan atau tidak.

“Kami membeli apa jua yang ada di pasaran kerana tiada siapa yang betul-betul mengetahui yang mana berkesan.

“Sekarang kami telah mendapat maklum balas dan kami harus terus menggunakan vaksin ini di Perancis dan Eropah kerana ia akan membantu kami mengatasi krisis berkenaan.

“Namun bagi melawan varian baharu, kami akan mempertimbangkan penggunaan vaksin lain yang didapati lebih berkesan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment