Perokok lebih berisiko jika dijangkiti

PUTRAJAYA 28 April – Golongan perokok yang dijangkiti Covid-19 lebih berisiko mengalami kerosakan hati, buah pinggang dan sindrom gangguan pernafasan akut, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata data itu diperoleh melalui kajian Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai risiko komplikasi golongan perokok dijangkiti Covid-19 terhadap 5,889 kes Covid-19 yang dirawat di seluruh negara dari 1 Februari hingga 31 Mei 2020.

Daripada 5,889 pesakit itu, seramai 791 individu adalah perokok dengan 773 daripadanya perokok lelaki (97.7 peratus) manakala 18 lagi (2.3 peratus) adalah wanita, dan 5,098 lagi bukan perokok, dengan majoriti berumur 30 tahun ke atas.

“Golongan perokok berisiko hampir dua kali ganda mendapat komplikasi teruk berbanding bukan perokok,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kajian itu merupakan kerjasama KKM melalui Bahagian Kawalan Penyakit, Bahagian Perkembangan Perubatan dan Institut Kesihatan Negara dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Beliau berkata penemuan kajian berkenaan juga selari dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 30 Jun lepas mengenai kesan rokok dan jangkitan Covid-19. (https://www.who.int/news-room/commentaries/detail/smoking-and-covid-19).

Sementara itu ketika memperincikan hasil kajian itu,  Ketua Sektor Kawalan Tembakau KKM dan Urusetia Pelan Tindakan Kawalan Tembakau Serantau (FCTC) Dr Nor Aryana Hassan berkata,  daripada 791 perokok terbabit, mereka turut mempunyai sejarah penyakit kronik iaitu darah tinggi 16.7 peratus, diabetes (12.3 peratus), masalah jantung (5.2 peratus) dan paru-paru kronik 1.1 peratus.

Kajian juga menunjukkan 14.2 peratus perokok merupakan pesakit Covid-19 kategori tiga iaitu mempunyai jangkitan paru-paru namun tidak memerlukan bantuan pernafasan, 4.4 peratus ialah kategori empat iaitu mempunyai jangkitan paru-paru dengan keperluan bantuan pernafasan manakala 1.6 peratus pesakit lagi adalah kategori lima iaitu kritikal.

Related posts

Leave a Comment