PKPD di empat lokaliti

KUALA LUMPUR 16 April – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang bermula esok, 17 hingga 30 April ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang dikenakan PKPD di Sabah membabitkan Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung di Tawau.

Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan ke komuniti luar.

Dalam satu kenyataan media beliau memaklumkan, turut dikenakan  PKPD adalah Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan bermula dari 17 April sehingga 30 April 2021,” katanya lagi.

Sementara di Pahang pula, kawasan yang bakal dikenakan PKPD ialah di Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong.

“Pelaksanaan PKPD adalah untuk memudahkan KKM mengawal pergerakan keluar masuk sekali gus menyekat penularan Covid-19 di lokaliti itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment