Kukuh hubungan dua hala Riyadh-KL

RIYADH 9 Mac – Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al-Saud percaya lawatan rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke negara itu akan melonjak hubungan dua hala Riyadh-Kuala Lumpur ke tahap yang lebih kukuh pada masa depan.

“Adalah penting untuk kita mempunyai hubungan dua hala yang kukuh bukan sahaja demi kepentingan kedua-dua negara tetapi juga dunia Islam secara keseluruhan,” katanya kepada media Malaysia di kementeriannya, di sini.

Muhyiddin kini dalam lawatan rasmi empat hari ke negara itu bermula Sabtu lalu.

Putera Faisal berkata kedua-kedua negara mahu menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi yang akan membantu menginstitusikan kerjasama itu dan bukannya bergantung kepada kerjasama tertentu sahaja.

“Kami kini mempunyai proses institusi yang kukuh yang akan memberikan hasil untuk kedua-dua negara dan memastikan kita membuat tindakan susulan mengenai peluang ini,” katanya.

Katanya, terdapat banyak peluang antara kedua-dua negara, contohnya, dalam bidang pelaburan, suruhanjaya bersama, pendidikan dan pembangunan saintifik.

Menurutnya, mekanisme itu akan membantu mereka membuat susulan mengenai perjanjian dan perbincangan yang telah dipersetujui supaya dapat meneruskan momentum kukuh dalam hubungan dua hala.

Menteri Luar itu turut menyentuh peranan yang boleh dimainkan oleh kedua-dua negara itu dalam membantu umat Islam dan memerangi Islamofobia.

“Dalam dunia hari ini, kami sangat tercabar dalam semua bentuk diskriminasi, kebencian dan salah faham dan salah satu sasaran itu adalah umat Islam,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua negara ini boleh membantu masyarakat global untuk memahami bahawa Islam adalah kuasa untuk kebaikan dan keamanan.

Related posts

Leave a Comment