Keluhan norma baharu

PELBAGAI cerita, semuanya keluhan mengenai norma baharu persekolahan iaitu sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR). Di bandar dan desa masing-masing ada masalahnya. Begitulah sesuatu yang baharu dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Jika di bandar liputan internet mungkin tidak menjadi masalah tetapi suasana di luar bandar dan desa atau pedalaman sudah tentu berbeza. Sehingga di atas pokok baru dapat liputan internet.

Keluhan juga bukan sekadar capaian internet tetapi kemudahan gajet juga menjadi masalah. Diharapkan pihak Kementerian Pendidikan dapat merungkai masalah ini sementara sesi bersemuka dapat dimulakan.

Ada cadangan supaya digunakan saluran televisyen kerana boleh dikatakan setiap rumah mempunyai kemudahan ini. Banyak rangkaian tv ada, mungkin setiap saluran boleh menyumbang.

Di Papar, seperti dilaporkan Utusan Borneo, tiga beradik terpaksa mendaki bukit dan bertahan dengan gigitan nyamuk di dalam hutan di Kampung Gana untuk mengikuti sesi PdPR.

Joshua Emmanual Jeffery, 12, bersama dua adiknya Jordon Emmanuel, 9, dan Joshean Emmanuel, 8, bagaimanapun berkata pengalaman pertama belajar di dalam hutan sangat menyeronokkan.

Ketiga-tiga murid Sekolah Kebangsaan Cina (SKC) Anglo Chinese Kota Kinabalu ini menjalani sesi PdPR seperti biasa sebelum ini. Tetapi sejak kembali ke Kampung Gana, mereka teruja dapat belajar seperti kanak-kanak lain yang sukar mendapat liputan Internet.

Ketiga-tiga beradik itu mengambil masa sekitar tiga jam berada di atas bukit untuk mengikuti sesi PdPR.

Related posts

Leave a Comment