Pengusaha restoran muslim terasa kesan

KUALA LUMPUR: Belum sehari, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mendakwa lebih 4,200 ahlinya yang juga pengusaha restoran terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua (PKP 2.0).

Presma mendakwa, perniagaan makanan di restoran merosot 80 peratus dan ini menjejaskan pendapatan ahli-ahli Presma di enam negeri yang terlibat.

Sehubungan itu, Presidennya, Jawahar Ali Taib Khan, memohon kerajaan memberi kelonggaran kepada operasi restoran dan penyedia perkhidmatan makanan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti sebelum ini.

Antara kelonggaran yang diharapkan Presma, kata Jawahar ialah mengehadkan jumlah pelanggan kepada dua orang setiap meja.

“Cadangan ini berdasarkan pengalaman ketika PKP kali pertama tahun lalu yang terbukti berkesan mengekang penularan wabak serta membantu ekonomi pengusaha restoran.

“Kami berasa sedih dan kecewa kerana terdapat ramai dari kalangan ahli kami yang terpaksa menggulung tikar terkesan dari PKP 1.0 sebelum ini.

“Keadaan ini memberikan sedikit kegusaran kepada para peniaga apabila kerajaan memperkenalkan PKP 2.0 (justeru) kami amat berharap agar sedikit kelonggaran diberi kepada para peniaga,” kata Jawahar dalam kenyataan media.

Dalam masa sama, beliau berkata, Presma juga memohon kerajaan agar membenarkan waktu operasi restoran dilanjutkan dari pukul 6 pagi hingga 10 malam.

Lanjutan waktu operasi kepada 10 malam berbanding 8 malam sebelum ini adalah bagi membolehkan orang ramai mendapatkan makanan pada waktu malam.

Related posts

Leave a Comment