PH tolak rasional PM guna darurat

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini menolak rasional Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Presiden berkata, undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen, termasuk Machang ( Ahmad Jazlan Yaakub) dan Padang Rengas (Mohamed Nazri Aziz), menunjukkan langkah itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Majlis Presiden turut menimbulkan kerisauan bahawa perisytiharan darurat ini akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur, dan tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan di kalangan rakyat.

Jangan berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri,” menurutnya lagi.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng

Related posts

Leave a Comment