Ahmad Maslan ganti Annuar

(Foto hiasan FB Annuar Musa)
KUALA LUMPUR 5 Jan. – Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) menggantikan Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa berkuat kuasa serta merta.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi semasa perjumpaan khas dengan ketua-ketua UMNO bahagian di PWTC hari ini.

Ahmad Maslan ketika ditemui media mengesahkan pelantikan itu termasuk sebagai Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN).

Katanya, pelantikan itu selari dengan amalan sebelum ini, iaitu Setiausaha Agung UMNO sebagai Setiausaha Agung BN.

Annuar sebelum ini menegaskan, beliau tetap mempertahankan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menolak DAP dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau tetap mahukan UMNO menjadi sebuah parti yang memimpin muafakat parti Melayu dan Islam, serta menolak perpecahan ummah.

Berikutan itu, katanya beliau sedia dipecat daripada parti sekiranya ada pihak yang tidak bersetuju dengan ketetapan itu.

“Saya tetap pertahan keputusan MKT, ‘NO DAP, NO ANWAR’. Kalau nak pecat kerana itu silakan, nak pertahan mereka yang bawa parti sokong DAP dan Anwar, silakan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya.

Baru-baru ini, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh mengusulkan supaya Annuar dipecat daripada UMNO, selepas didakwa tidak menghormati presiden parti serta mendahului keputusan parti.

Usul itu dicadangkan oleh Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh Muhammad Saifullah Ali pada mesyuarat perwakilan pergerakan berkenaan, pada Sabtu.

Sementara itu, Ahmad Maslan menegaskan bahawa UMNO tetap dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan DAP.

Mengenai pertemuan itu, beliau memaklumkan bahawa ia adalah alternatif kepada konvensyen parti peringkat negeri dan kebangsaan yang lazimnya memperhalusi setiap usul Bahagian yang akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO.

“Pertemuan ini adalah amalan lazim untuk kepimpinan tertinggi mendengar dan memperhalusi suara akar umbi sebelum sebarang usul dibawa secara rasmi ke Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO untuk dibahas dan diputuskan,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut.

Katanya, sebanyak 189 Bahagian termasuk jumlah yang sama bagi sayap-sayap Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO berjaya menyelesaikan Mesyuarat Perwakilan masing-masing sebagaimana tuntutan Perlembagaan (kecuali Tanah Merah yang digantung dan Tuaran bersidang minggu ini).

Related posts

Leave a Comment