Ada lagi virus lebih berbahaya

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran virus Covid-19 tidak semestinya yang terburuk dan kemungkinan terdapat virus lain yang lebih berbahaya dan teruk tersebar di seluruh dunia.

Pengarah Program Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan berkata pandemik seterusnya mungkin lebih parah dan vaksin tidak menjamin penyakit berjangkit akan terhapus sepenuhnya.

Jelasnya, terdapat keperluan untuk bertindak secara kolektif dalam situasi yang tidak menentu di dunia ini serta keadaan masyarakat yang semakin kompleks.

Bercakap dalam satu sidang media, beliau menyeru supaya orang ramai mengingati mereka yang telah meninggal dunia akibat Covid-19 dan menggesa pembaikan dalam tindakan dilakukan.

Sementara itu, Ketua Teknikal WHO untuk Covid-19, Maria Van Kerkhover berkata beberapa negara mengatasi Covid-19 tidak semestinya negara berpendapatan tinggi namun negara yang pernah melalui wabak penyakit berjangkit yang lain.

Tambahnya, negara-negara itu menggunakan pengalaman daripada trauma yang pernah dilalui untuk mendorong mereka menguatkan lagi sistem dan bertindak dengan lebih cepat dalam menangani virus secara menyeluruh.

Van Kerkhover juga menggesa dunia agar lebih bersiap sedia menghadapi krisis kesihatan di masa hadapan dengan petugas kesihatan terlatih serta memanfaatkan sepenuhnya teknologi inovatif.

Kenyataan mereka mengulangi kenyataan Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus yang mendesak negara dunia tidak bergantung sepenuhmnya kepada vaksin dan mempertingkatkan sistem kesihatan bagi menangani krisis kesihatan seterusnya.

Related posts

Leave a Comment